KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memfailkan representasi baharu bagi menggugurkan pertuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, susulan beliau diterima menghadap oleh Istana Pahang.
Peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ahli Parlimen Pagoh itu berkata pihak pembelaan menerima sepucuk warkah daripada pihak istana semalam, selepas Muhyiddin diterima menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 26 Oktober lalu.
Beliau berkata, perkembangan itu mendorong pihaknya mengemukakan representasi baharu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memohon supaya pertuduhan terhadap anak guamnya digugurkan.






