Kuala Lumpur: Setiap hari, antara 80,000 hingga 90,000 percubaan serangan siber cuba menembusi benteng keselamatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadikan perlindungan maklumat agensi itu satu pertarungan senyap dan getir yang tidak pernah berakhir.
Di sebalik operasi membongkar rasuah, menjejaki wang haram dan menumpaskan kegiatan pihak tidak bertanggungjawab, tersimpan ribuan aduan, dokumen serta rekod sulit yang jika bocor, mampu mengubah keseluruhan perjalanan sesuatu siasatan.
Bayangkan satu maklumat operasi jatuh ke tangan pihak yang sedang diburu, saksi mungkin terancam, suspek berpeluang mengatur langkah, manakala usaha mengheret pesalah ke muka pengadilan berdepan risiko tergendala.










