Helsinki, Finland: Finland, negara paling bahagia di dunia, mengundang 16 individu bujang dari seluruh dunia untuk menyertai pengalaman janji temu menerusi kempen 'Finnish Dinner Date' yang menawarkan lawatan percuma ke negara itu pada Februari 2027, lapor NDTV.

Kempen unik itu dilancarkan badan pelancongan negara berkenaan, Visit Finland, bagi memberi peluang kepada peserta menerokai budaya makanan tempatan yang berkemungkinan juga akan menemui cinta.

Lawatan yang ditanggung sepenuhnya itu dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 19 Februari 2027, membabitkan pelbagai aktiviti termasuk menikmati hidangan tempatan seperti ikan liar, buah beri dan cendawan yang dipetik dari hutan.

Antara acara utama adalah janji temu makan malam secara berkumpulan yang membolehkan peserta antarabangsa bertemu individu bujang tempatan di Helsinki dan Tampere, wilayah Lakeland.