Kuala Lumpur: Pelakon, Amir Ahnaf gagal menahan sebak apabila masih menerima sokongan daripada peminat biarpun mengakui pernah hilang keyakinan diri susulan pelbagai kontroversi yang melanda dirinya sejak kebelakangan ini.

Amir atau nama sebenarnya Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 26, berkata sambutan hangat penonton pada tayangan filem Baga: Esok Untuk Siapa membuatkan dia kembali bersemangat selepas menyangka perjalanan seninya sudah berakhir.

"Saya hilang rasa kepercayaan terhadap diri sendiri. Tapi selepas melihat, mendengar dan merasai apa yang kalian rasa, saya bersyukur kerana kalian lebih menghargai perasaan manusia.

"Saya jujur dalam setiap apa yang saya buat, apatah lagi naskhah yang saya bawa. Bukan saya seorang, tetapi bersama barisan pelakon dan tenaga produksi lain yang semuanya datang dengan hati yang jujur.