KUALA LUMPUR: Purata saiz isi rumah di Malaysia turun kepada 3.8 orang pada 2024 berbanding empat pada 2014, manakala purata umur perkahwinan pertama meningkat kepada 27.1 tahun bagi lelaki dan 24 tahun bagi wanita.

Dapatan itu terkandung dalam laporan penemuan utama Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keenam (KPKM-6) yang dilancarkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri pada Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2026 (PERKKS 26), di sini hari ini.

Nancy berkata, meskipun purata umur perkahwinan pertama meningkat, hasrat untuk berkeluarga dalam kalangan penduduk masih kukuh apabila lebih separuh daripada 10 penduduk bujang menyatakan hasrat untuk mendirikan rumah tangga.