GUA MUSANG – Sebanyak 210 kotak rokok seludup bernilai RM1.8 juta dan 208 mesin perlombongan mata wang kripto (bitcoin) dilupuskan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang selepas kesemua barang rampasan itu selesai melalui proses perundangan dan perintah mahkamah.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, rampasan rokok seludup dan mesin yang dipercayai digunakan untuk kegiatan perlombongan mata wang kripto itu dilakukan menerusi beberapa operasi antara 2021 hingga 2023.

Katanya, mesin melombong bitcoin akan diserahkan kepada pihak pengurusan e-waste (sisa barangan elektrik dan elektronik) manakala rokok yang dirampas akan ditanam di pusat pelupusan sampah Majlis Daerah Gua Musang.