KUALA LUMPUR: Mendalami watak individu yang bergelut dengan penyalahgunaan dadah menerusi filem Baga: Esok Untuk Siapa, membawa pelakon Amir Ahnaf ke fasa emosi yang sukar sehingga dia takut tinggal bersendirian di rumah selepas penggambaran berakhir.
Amir, 26, mengakui karakter Jani yang dibawanya meninggalkan kesan mendalam, malah proses untuk kembali kepada diri sendiri selepas menyelesaikan penggambaran kira-kira dua tahun lalu bukan sesuatu yang mudah.
Malah, pelakon itu menyifatkan tempoh berkenaan sebagai antara fasa paling gelap dalam kehidupannya apabila perasaan takut untuk bersendirian mula menghantui diri.
"Selepas selesai penggambaran, boleh dikatakan saya melalui antara fasa gelap dalam hidup. Proses untuk keluar daripada karakter Jani ini sangat sukar," katanya ketika ditemui pada sesi temu bual bersama pengarah dan pelakon filem Baga: Esok Untuk Siapa di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.








