MUNGKIN dari pandangan kasar, agak janggal apabila Pakatan Harapan (PH) dan BERSATU bertembung di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, walaupun nampak seolah-olah ada persefahaman di antara dua parti itu, khususnya melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA).
Pada PRN Melaka Ke-16 ini, PH dan BERSATU 'bertemu' di tiga kerusi, iaitu Ayer Keroh, Kelebang dan Pengkalan Batu, manakala di Gadek menyaksikan gabungan itu bertembung dengan parti rakan BERSATU, iaitu PUTRA.
PH bertanding di 24 daripada 28 keseluruhan kerusi pada PRN Melaka, manakala BERSATU bertanding di tujuh DUN.
Ada pemimpin BERSATU yang menyifatkan pertindihan kerusi terbabit sebagai sebahagian daripada proses demokrasi yang sihat, namun ada sumber kepimpinan parti itu dan PH yang berbisik, itu strategi bagi memecahkan undi di kerusi campuran.










