KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan hanya meluluskan peruntukan RM30 juta bagi projek pembangunan Kota Bharu Central (KB Central), bukannya RM250 juta sebagaimana diumumkan pada Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr. Izani Husin berkata, jumlah itu berdasarkan surat kelulusan rasmi yang diterima kerajaan negeri.

“Peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi projek ini ialah RM30 juta, bukannya RM250 juta seperti yang diperkatakan sebelum ini.

“Malah, peruntukan RM500 juta yang pernah diumumkan Perdana Menteri sebelum ini juga masih belum diterima oleh kerajaan negeri. Kita masih menunggu proses penyalurannya diselesaikan,” katanya semasa sesi penggulungan perbahasan Belanjawan Negeri Kelantan 2027 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini semalam.