KUALA LINGGI: AMANAH yakin mampu memenangi kesemua tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata keyakinan itu selari sasaran Pakatan Harapan (PH) untuk membolot 18 daripada 24 kerusi DUN yang bakal ditandingi pada pilihan raya kali ini.

"AMANAH bertanding tujuh kerusi DUN... kita yakin akan memenangi semuanya, insya-Allah," katanya pada sidang media selepas program kempen PH PRN Melaka di Telok Gong, di sini, malam tadi.

Mengulas pemilihan calon muda PH pula, Mohamad berkata, gabungan itu tidak ketandusan sokongan golongan berkenaan, selain turut memberi ruang kepada calon daripada pelbagai peringkat umur.