KOTA BHARU: Sebanyak 2,187 daripada 3,568 atau 61.29 peratus perkhidmatan kerajaan negeri ditransformasikan kepada perkhidmatan End-To-End (E2E) sepenuhnya, berdasarkan laporan Pencapaian Perkhidmatan E2E bagi sukuan kedua tahun ini bermula April hingga Jun lalu.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, dapatan itu menunjukkan kemajuan yang bagus dari segi pembangunan aplikasi yang membolehkan keseluruhan rantaian perkhidmatan kerajaan diselesaikan secara digital.
Katanya, melalui pendekatan E2E, rakyat tidak perlu lagi hadir berulang kali ke kaunter atau pejabat kerajaan secara fizikal untuk membuat permohonan, saringan, pembayaran sehinggalah kepada peringkat pengeluaran kelulusan atau keputusan.






