Melaka: Pakatan Harapan (PH) menyasarkan kemenangan di 18 daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk mempertahankan lima kerusi yang dimenangi sebelum ini.
Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan penilaian terhadap kekuatan jentera parti, keupayaan calon serta tahap penerimaan rakyat di kawasan yang bakal ditandingi gabungan berkenaan.
"Sasaran kita dari awal ialah 18 kerusi Dewan Undangan Negeri. Jadi, kita tahu bahawa kita ada kemampuan di 18 kerusi ini dengan berusaha untuk mengekalkan lima kerusi yang kita sudah ada," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Minum Petang Bersama Pengamal Media Melaka di Ayer Keroh, di sini, hari ini.








