KUALA LUMPUR – Hilang kepercayaan terhadap diri sendiri susulan terkait kontroversi, pelakon Amir Ahnaf tidak menyangka masih ada pihak memberikan peluang buat dirinya untuk terus berkarya dalam industri seni.
Amir atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Ahnaf Mohd. Khairudin, 26, berkata tidak mampu menahan sebak sehingga menangis sebaik melihat maklum balas positif penonton terhadap filem baharunya, Baga: Esok Untuk Siapa yang disifatkan sebagai antara karya paling dekat dengan dirinya setakat ini.
“Selepas apa yang berlaku dua, tiga bulan lalu membuatkan saya tertanya-tanya sama ada saya masih mempunyai tempat dalam arena hiburan tanah air.
“Susulan hal yang terjadi, saya hilang kepercayaan terhadap diri sendiri. Tapi selepas melihat, mendengar dan merasai apa yang kalian rasa, saya bersyukur kerana kalian lebih menghargai rasa manusia berbanding perkara lain.








