BINTULU, 3 Nov – Tanggapan bahawa wanita kurang sesuai melakukan kerja lasak dalam bidang perhutanan tidak mematahkan semangat Sarah Hannani Ahmad Fikri, 23, untuk membuktikan kemampuannya sehingga dinobatkan sebagai Graduan Terbaik Bacelor pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-50 Sidang 1, di sini, hari ini.

Graduan Bacelor Sains Perhutanan dengan Kepujian, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) itu menerima Hadiah Live Animal Medical Centre sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangannya sepanjang pengajian.

Anak kelahiran Kedah itu berkata, bidang perhutanan bukan sahaja menuntut penguasaan ilmu, malah memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi, terutama ketika menjalankan kerja lapangan dalam persekitaran hutan yang mencabar.