KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan tidak berkompromi terhadap sebarang kelemahan dalam tadbir urus pentadbiran negeri sebaliknya tindakan pembetulan perlu diambil segera sebaik sahaja perkara itu dikenal pasti menerusi audit dalaman.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, setiap penemuan audit perlu diberi perhatian serius bagi mengenal pasti punca kelemahan sebelum tindakan sewajarnya diambil untuk memperbaiki dan membersihkan sistem pentadbiran.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan integriti dan tadbir urus jabatan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sentiasa diperkukuh.
“Kita tahu bahawa ada audit dalaman dan apabila dilaporkan, ambil tindakan terus. Supaya kita tahu di mana silapnya dan kita betulkan serta bersihkan. Bagaimanapun mengikut prinsip undang-undang adalah, apabila dituduh, seseorang itu tidak semestinya bersalah sehingga dibuktikan. Seseorang itu tidak bersalah sehingga dia diberikan hak perbicaraan yang adil dan kemudian didapati bersalah oleh mahkamah.









