JOHOR BAHRU: Seorang lelaki Singapura yang sedang menjalani kehidupan ketenteraan wajib republik itu antara tiga individu didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Ketiga-tiga lelaki itu iaitu, Syajahan Alfian Abdullah, 19; Muhammad Daniel Hakim Mohamad Rashid, 24; dan Gonzales Mckhovic anak George, 18, mengaku bersalah kerana berlumba haram dan menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuhraya Linkedua Malaysia-Singapura, bulan lalu.

Mereka mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga mereka dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.