Kota Bharu: Peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi projek Kota Bharu Sentral (KB Sentral) kepada Kelantan adalah RM30 juta, bukannya RM250 juta seperti yang diperkatakan sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, peruntukan itu berdasarkan surat kelulusan rasmi yang diterima oleh kerajaan negeri.

Katanya, peruntukan RM500 juta yang pernah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga masih belum diterima oleh kerajaan negeri.

"Saya ingin tegaskan bahawa pembangunan negeri bukan soal belas ihsan, sebaliknya adalah tanggungjawab bersama dalam semangat sebuah negara Persekutuan," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Belanjawan Negeri Kelantan 2027 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini.