PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong tidak berhasrat merebut tempat dalam skuad Sukan SEA 2027 sekiranya peluang itu boleh diberikan kepada penerjun muda.

Pandelela yang bakal berusia 34 tahun pada tahun depan berkata, keutamaan perlu diberikan kepada penerjun junior kerana temasya dwitahunan itu merupakan platform terbaik untuk mereka mengutip pengalaman di pentas antarabangsa.

“Kita masih perlu mengutamakan penerjun junior. Sukan SEA merupakan peluang untuk mereka. Seperti sebelum ini, biasanya penerjun junior akan diberi peluang beraksi dan saya hanya akan membantu mereka dari belakang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pandelela masih mempunyai perancangan untuk meneruskan karier apabila menyasarkan penampilan dalam acara individu dan seirama pada Piala Dunia, sebelum memberi tumpuan kepada kejohanan dunia tahun depan.