KUALA LUMPUR: Penurunan Gred Sekolah menyebabkan ada dalam kalangan Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) terpaksa berputih mata, apabila Elaun Tugas Pentadbiran Sekolah (ETPS) yang dinikmati mereka boleh ditarik balik.

Keadaan itu berlaku kerana elaun ETPS sebanyak RM120 sebulan hanya dibayar kepada GKMP di sekolah Gred A, manakala Gred B dan C tidak menikmatinya walaupun tugas dan memikul tanggungjawab sama.

Gred Sekolah ditentukan berdasar tiga kriteria utama iaitu jumlah pelajar dengan wajaran 80 peratus; penghuni asrama (wajaran 10 peratus) dan peringkat pendidikan (10 peratus).

Lebih malang, GKMP yang menikmati elaun itu akan dikehendaki membayar balik ETPS jika sekolah mereka jatuh daripada Gred A kepada Gred B atau C.