Kuala Lumpur: Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan tiga operasi khusus iaitu Op Hijau, Op Jaja dan Op Belanja bagi membendung kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam sektor pekerjaan serta aktiviti perniagaan yang tidak dibenarkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Ismail Nasution berkata, kerajaan sentiasa melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berterusan bagi membendung keberadaan warga asing khususnya PATI.

"Antara pendekatan dilaksanakan adalah melalui operasi penguatkuasaan secara bersasar seperti Op Hijau yang memberi tumpuan kepada sektor pertanian termasuk ladang tanaman, ternakan dan tapak semaian.

"Op Jaja pula menyasarkan aktiviti penjajaan di pasar malam, pasar tani, pasar borong, gerai buah-buahan serta penjaja jalanan, manakala Op Belanja memberi tumpuan kepada pasar raya, kedai runcit, kedai perabot serta premis perniagaan lain yang dikenal pasti," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, malam tadi.