London: Jersi ikonik nombor tujuh milik legenda bola sepak England, Kevin Keegan ketika beraksi bersama Hamburg pada Piala Super Eropah 1977, terjual pada harga £84,500 (RM461,733) menerusi satu acara lelongan.

Piala Super Eropah 1977 menyaksikan Hamburg, kelab baharu Keegan ketika itu berdepan bekas pasukannya, Liverpool. Selepas seri 1-1 pada aksi pertama, Hamburg dibelasah 0-6 ketika Keegan kembali ke Anfield buat kali pertama selepas menyertai kelab Jerman itu.

Jersi nombor tujuh berwarna biru langit dan putih itu sebelum ini menjadi sebahagian daripada koleksi bekas rakan sepasukannya di Liverpool, Emlyn Hughes.

Hughes yang meninggal dunia pada 2004, memperoleh jersi berkenaan menerusi pertukaran dengan Keegan. Rumah lelong BUDDS sebelum ini menganggarkan nilainya sekitar £2,000 (RM10,900) hingga £3,000 (RM16,390) sahaja.