Kota Bharu: Suasana pilu menyelubungi jeti Tok Ime Yie Kedai Piah, di sini, hari ini apabila seorang wanita meraung sebelum rebah sebaik melihat jasad suaminya yang ditemukan lemas selepas dilaporkan hilang akibat terjatuh dari bot ketika bekerja, Ahad lalu.
Nor Asnida Mohd Tarmizi, 32, juga dilihat terpaksa ditenangkan ahli keluarga, sebelum dibawa masuk ke dalam kenderaan.
Mayat Mohd Aqbar Che Abdullah, 34, ditemui jam 8.30 pagi hari ini, kira-kira 20 kilometer (km) daripada lokasi dilaporkan terjatuh di Pengkalan Pasir Kampung Chekok, Serendah, Kemubu, dekat sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ahmad Fakharuddin Berahim berkata, mayat mangsa ditemui penduduk kampung dalam keadaan tertiarap dan tersangkut di bawah pam pasir.









