KOTA BHARU – Tawaran upah RM200 untuk seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibawa dari Kelantan ke Kuala Lipis, Pahang dipercayai menjadi habuan dua lelaki tempatan yang ditahan bersama sembilan warga asing dalam operasi berasingan di Kok Lanas di sini pada Khamis.Kedua-dua suspek yang dipercayai berperanan sebagai tekong itu ditahan ketika memandu kereta jenis Honda Accord dan Civic yang membawa PATI warga China serta Myanmar dalam keadaan mencurigakan.Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan dilakukan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Wawasan dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.Menurut beliau, dalam operasi kira-kira jam 9 pagi itu, anggota mengesan dua buah kenderaan yang bergerak dari arah Kampung Melor menuju Kok Lanas."Pemeriksaan terhadap Honda Accord menemukan seorang lelaki tempatan yang dipercayai tekong, dua lelaki warga China serta seorang lelaki dan wanita warga Myanmar."Pemeriksaan terhadap Honda Civic pula menemukan seorang lelaki tempatan dipercayai tekong bersama empat wanita warga Myanmar," katanya kepada pemberita pada Jumaat.Ujar beliau, pemeriksaan mendapati dua lelaki warga China yang dibawa dalam Honda Accord tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, manakala dua PATI Myanmar dalam kenderaan sama serta empat wanita Myanmar dalam Honda Civic memiliki pasport tanpa cop keluar masuk ke Malaysia melalui laluan yang sah.Jelasnya, hasil soal siasat awal terhadap salah seorang suspek mendapati PATI berkenaan diambil di sekitar Kampung Peringat dan Melor sebelum dibawa ke destinasi ditetapkan.Beliau memberitahu, suspek turut mengaku menerima tawaran upah RM200 daripada seorang individu dikenali sebagai 'Ah Siong' bagi setiap PATI yang dibawa dari Kelantan ke Kuala Lipis."Dalam operasi itu, kami telah merampas kedua-dua kenderaan terbabit bersama empat telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM134,000."Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.Menurut Ahmad Radzi, tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Bharu untuk siasatan lanjut.