KUALA LUMPUR: Hampir tiga dekad selepas diperkenalkan sebagai lagu tema Sukan Komanwel (SUKOM) 1998, Standing In The Eyes Of The World terus mengekalkan kedudukannya sebagai karya patriotik yang dekat di hati rakyat, sekali gus mencetuskan cadangan supaya lagu berkenaan diberikan pengiktirafan lebih besar sebagai simbol penyatuan negara.
Malah, karya yang menyatukan semangat kebangsaan menerusi melodi dan liriknya itu bukan sahaja terus dimainkan dalam pelbagai acara di dalam negara, malah mendapat perhatian di peringkat antarabangsa apabila dihasilkan semula menerusi pelbagai versi saduran atau cover.
Keistimewaan lagu ciptaan komposer, Datuk Wah Idris bersama komposer Amerika Syarikat (AS), David Gates, dengan lirik nukilan Datuk Habsah Hassan dan dendangan Ratu Rock, Ella itu membuktikan karya muzik mampu melangkaui zaman serta menjadi sebahagian daripada identiti sesebuah negara.









