KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk tidak mengekstradisi pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik, ke India dan tidak memberi sebarang komitmen menyerahkan beliau kepada negara itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan hak Malaysia bawah Artikel 6 Triti Ekstradisi yang ditandatangani bersama Kerajaan India pada 2010 serta peruntukan Akta Ekstradisi 1992.
Setakat ini, katanya, kerajaan tiada menerima sebarang permohonan ekstradisi baharu daripada India berhubung Dr Zakir.
Beliau berkata, permohonan rasmi ekstradisi daripada Kerajaan India sebelum ini diterima pada 19 Januari 2018, manakala nota diplomatik yang memohon pertimbangan semula diterima pada 29 Mei 2020.










