AMSTERDAM: Pihak berkuasa Belanda menawarkan ganjaran rekod sebanyak 2 juta euro (kira-kira RM9.13 juta) bagi maklumat yang membawa kepada penahanan Jos Leijdekkers.

Dia adalah antara buruan paling dikehendaki di Eropah yang dikaitkan dengan sindiket penyeludupan kokain antarabangsa.

Leijdekkers, 35, yang turut dikenali dengan gelaran 'Bolle Jos' atau 'Jos Gemuk', sebelum ini disifatkan polis Belanda sebagai antara pemain utama dalam rangkaian pengedaran kokain antarabangsa.

Menteri Kehakiman Belanda, David van Weel, berkata keputusan menaikkan ganjaran sepuluh kali ganda itu dibuat kerana ancaman yang dibawa Leijdekkers terhadap keselamatan negara, kedaulatan undang-undang serta ketenteraman perundangan antarabangsa.