MARAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda pendidikan inklusif dan teknologi untuk masyarakat menerusi penganjuran Educational Community Rehabilitation for Inclusive Biomechanics (ECoRehaB) 2.0 di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Maran, Pahang, baru-baru ini.

ECoRehaB anjuran Pusat Teknologi dan Ekosistem Inklusif (iNKLUSIF) UMPSA dengan kerjasama Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) serta rakan strategik, memberi tumpuan kepada pemerkasaan rehabilitasi, teknologi bantuan dan pendidikan inklusif, khususnya dalam menyokong keperluan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di daerah Maran.

Program tersebut menghimpunkan lebih 70 anak-anak inklusif daripada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), selain melibatkan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPD Maran, ibu bapa, penjaga, guru, pensyarah dan fasilitator.