Georgetown: Enam premis perniagaan dikendali warga asing diarah tutup serta-merta dan disita Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), di sini, kerana tidak patuh syarat dan peraturan pelesenan.

MBPP dalam kenyataannya memaklumkan, tindakan itu diambil menerusi Op Tegas pada Jumaat lalu, ke atas premis perniagaan di sekitar Gat Lebuh Macallum, Jalan Magazine dan Jalan Tun Dr Awang.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan terbabit dengan aktiviti perniagaan dikendali warga asing, serta tidak mematuhi syarat dan peraturan pelesenan ditetapkan oleh MBPP.

"Susulan itu, tindakan penguatkuasaan diambil termasuk arahan penutupan dan penyitaan premis (sealed-off), rampasan peralatan perniagaan serta tindakan penurunan papan iklan yang berkaitan," menurut kenyataan itu, malam tadi.