Kuala Lumpur: Lembaga Peperiksaan (LP) menafikan dakwaan berlaku kebocoran soalan Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (UBBI) bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2026 seperti yang tular di media sosial.
LP dalam kenyataan berkata, hasil penelitian mendapati maklumat yang disebarkan adalah senarai tema umum dan ramalan berdasarkan kandungan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).
Katanya, persamaan tema atau kata kunci dengan instrumen peperiksaan sebenar tidak membuktikan berlakunya kebocoran soalan kerana sesuatu tema boleh dikembangkan kepada pelbagai bentuk soalan, situasi dan tugasan.
"LP menegaskan bahawa penyediaan dan pengendalian instrumen peperiksaan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan mematuhi aspek keselamatan dan kerahsiaan selaras dengan Akta Rahsia Rasmi 1972," katanya.








