Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tindakan yang diambil terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengikut proses perundangan sewajarnya selepas siasatan kes membabitkan beliau dijalankan.

Perdana Menteri mengakui, Mohd Shuhaily ialah seorang pegawai yang mempunyai prestasi yang baik, namun itu tidak mengecualikan beliau daripada mengikut peraturan.

"Jika tanya saya dari segi peribadi, saya simpati dengan beliau tetapi proses itu, bila ada dakwaan, sama ada daripada orang ramai atau polis, itu soal siasatan.

"Jangan minta saya atau Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) campur tangan sampai ke situ. Cuma sekarang ini, jika didapati oleh pihak pendakwaan bahawa ada kes untuk didakwa, beliau dakwa. Bila didakwa, proses ikut peraturan negara," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.