Kuala Lumpur: Selepas hampir setahun terpaksa melupakan aksi kompetitif, Imanol Machuca muncul pemain pertama daripada tujuh tonggak skuad Harimau Malaya yang digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kembali beraksi bersama kelab masing-masing.

Machuca membuat penampilan semula apabila diturunkan sebagai pemain gantian pada minit ke-88 ketika membantu Independiente berdepan Defensa y Justicia dalam saingan Liga Utama Argentina, awal pagi tadi.

Penampilan itu pastinya cukup bermakna buat Machuca yang akhirnya dapat kembali merasai suasana perlawanan kompetitif selepas tempoh penggantungan selama 12 bulan dikenakan FIFA berakhir pada 30 Oktober lalu.

Machuca antara tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikenakan hukuman penggantungan selama setahun oleh FIFA pada September tahun lalu selepas badan induk bola sepak dunia itu mendapati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggunakan dokumen yang dipinda bagi menyokong kelayakan pemain terbabit mewakili Malaysia.