Kuala Lumpur: Bank Rakyat memperkukuh usaha meningkatkan tahap celik kewangan masyarakat menerusi Program Bulan Literasi Kewangan 2026 yang memberi tumpuan kepada amalan menabung, pengurusan wang secara berhemah dan penggunaan perbankan digital dengan selamat.
Program yang berlangsung di Kompleks Pembangunan Asnaf Lembaga Zakat Negeri Kedah itu menghimpunkan lebih 1,200 pengunjung serta penyertaan lebih 37 institusi pendidikan.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, program bertemakan 'Bijak Wang Dulu, Tenang Bila Perlu' itu bertujuan memperluas pendidikan dan keterangkuman kewangan, khususnya dalam kalangan komuniti yang belum atau kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan.
Menurutnya, penganjuran itu turut menyokong pelaksanaan Bulan Literasi Kewangan anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) yang dipengerusikan bersama Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.









