SHAH ALAM: Penguasaan ilmu pengurusan wang dalam kalangan mahasiswa perlu diperkukuh sebagai benteng mendepani cabaran ekonomi semasa sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan.
Menyedari hakikat itu, National BijakWang Challenge 2026 anjuran Skim Perlindungan Takaful, mySalam, tampil memperkasa tahap literasi kewangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) ke pentas nasional dengan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Pertandingan itu berjaya menarik penyertaan lebih 3,000 mahasiswa dari seluruh negara, sekali gus menyediakan platform pembelajaran kewangan yang interaktif kepada golongan muda.
Kemuncak pusingan akhir yang berlangsung sempena Karnival Celik Kewangan (KCK) di Central i-City Mall, menyaksikan penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Rizarina Kaman, dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.










