Sepang: Kejayaan di Terbuka Perancis bukan sekadar mengakhiri penantian panjang beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, malah turut menyuntik keyakinan baharu buat gandingan itu untuk kembali bersaing di pentas tertinggi.

Kai Wun percaya kejayaan di Paris, Ahad lalu, mampu membantu Wei Chong mendapatkan semula keyakinan yang terjejas akibat masalah kecederaan lutut kanan berpanjangan, selain meningkatkan semangat mereka untuk menghadapi baki kejohanan musim ini.

Gandingan nombor lapan dunia itu kali terakhir merangkul kejuaraan pada Masters Malaysia, Mei tahun lalu, sebelum kecederaan yang dialami Wei Chong sejak penghujung 2024 menjejaskan persiapan dan prestasi mereka.

" Saya rasa selepas kejohanan ini, dia akan mendapatkan semula keyakinannya. Cuma, dia perlu menguruskan kecederaannya sendiri dengan baik serta mengatasi kesukaran dan kebimbangan yang timbul akibat kecederaan itu," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 1, hari ini.