Kuching: 'Pantang mundur'. Itu pendirian Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, sekiranya dipilih Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13) Sarawak.

Mohamad Asfia yang juga Pengerusi Tetap PBB berkata, seseorang Speaker DUN boleh bertanding dalam pilihan raya sekiranya dicalonkan parti dianggotainya.

"Jika saya dicalonkan... jawapan saya, pantang mundur," katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan itu pada sidang media berhubung pembubaran DUN Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, sejarah menunjukkan Speaker DUN sebelum ini pernah bertanding dalam pilihan raya, namun perkembangan perundangan kemudiannya membolehkan seseorang dilantik sebagai Speaker tanpa perlu menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).