Kuala Lumpur: Sebanyak 11 pasukan atau kelab dari Malaysia yang 'digari' Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila dikenakan sekatan pendaftaran pemain oleh badan induk dunia itu.
Berdasarkan semakan di laman FIFA, ia membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak 33 kes yang turut menyaksikan pasukan dari Malaysia merekodkan jumlah tertinggi kes sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA di ASEAN.
Pendatang baharu Liga Super musim ini, Kelantan Red Warrior (KRW) FC merekodkan jumlah tertinggi iaitu dengan sembilan kes, namun apa yang menyedihkan kerana hukuman yang dikenakan itu dilaporkan bukan kesalahan daripada kelab terbabit.
Sebaliknya, kes tuntutan tunggakan gaji berkenaan dibuat terhadap KRW FC selepas kelab itu didakwa memiliki entiti sama dengan kelab yang sudah tidak beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M), Kelantan FC.









