Kuala Lumpur: Agensi pengendali umrah, Vacasia Tours & Travels Sdn Bhd (Vacasia), memperkenalkan dua pakej umrah baharu yang memberi penekanan kepada pengisian ilmu agama menerusi bimbingan tokoh berpengalaman dalam bidang pengajian Islam dan dakwah.

Dua pakej berkenaan ialah Pakej Umrah Sunnah & Hadis serta Pakej Umrah Selawat yang menawarkan pengalaman berbeza kepada jemaah menerusi pengisian kerohanian sepanjang berada di Tanah Suci.

Penasihat dan Penaung Kehormat Vacasia, Prof Datuk Dr Mohd Izhar berkata, pakej Umrah Sunnah & Hadis mengekalkan modul hafalan hadis pendek yang dilaksanakan secara konsisten sepanjang perjalanan selama 10 hingga 12 hari.

Katanya, menerusi pendekatan itu, setiap jemaah dibimbing menghafal sekurang-kurangnya satu hadis pendek setiap hari bagi memastikan mereka membawa pulang ilmu dan penghayatan agama selepas menunaikan umrah.