KUALA LUMPUR: Lembaga Peperiksaan menafikan dakwaan berlaku kebocoran soalan Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (UBBI) bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 seperti tular di media sosial.

Melalui kenyataan hari ini, pihak berkenaan hasil penelitian mendapati maklumat disebarkan adalah senarai tema umum dan ramalan berdasarkan kandungan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

Katanya, persamaan tema atau kata kunci dengan instrumen peperiksaan sebenar tidak membuktikan berlakunya kebocoran soalan kerana sesuatu tema boleh dikembangkan kepada pelbagai bentuk soalan, situasi dan tugasan.

"Lembaga Peperiksaan menegaskan penyediaan dan pengendalian instrumen peperiksaan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan mematuhi aspek keselamatan dan kerahsiaan selaras dengan Akta Rahsia Rasmi 1972," katanya.