KUALA LUMPUR: Eksport perkhidmatan Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan kukuh tahun ini, selepas mencatat peningkatan 15.6 peratus pada 2025, disokong perkembangan sektor teknologi termasuk pusat data.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin, berkata Malaysia mempunyai asas perkilangan yang kukuh, sekali gus mewujudkan permintaan tinggi terhadap pelbagai perkhidmatan termasuk kejuruteraan, teknologi maklumat (IT), peningkatan produktiviti dan kecekapan tenaga.

"Tahun lalu kita mencatat pertumbuhan yang sangat besar, iaitu 15.6 peratus. Saya rasa momentum itu akan berterusan, termasuk dengan perkembangan pusat data dan sebagainya.

"Saya tidak mempunyai angka khusus mengenai kadar pertumbuhan, tetapi saya percaya 2026 juga akan menjadi tahun yang baik untuk perdagangan perkhidmatan," katanya ditemui pada perasmian ASEAN International Fair for Trade in Services (AIFTIS) dan China-Malaysia Intelligent Industry Expo (CMIIE) 2026, di Kuala Lumpur, semalam.