GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang mempertimbangkan pemberian bayaran ex-gratia atau penyediaan tapak ganti bagi tiga lot tanah di Bukit Langkap, Seberang Perai Tengah (SPT), susulan keputusan berhubung cadangan pengambilan tanah di kawasan berkenaan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata keputusan itu diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri Pulau Pinang dan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) pada 2 September lalu.
Beliau berkata, pengambilan tanah di kawasan Bukit Langkap, termasuk tanah kerajaan, sudah melalui proses perundangan mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 468).
Katanya, permohonan pengambilan tanah di bawah Seksyen 4 diluluskan PBN pada 7 Mei lalu dan diwartakan pada 29 Mei, manakala permohonan di bawah Seksyen 8 diluluskan pada 29 April sebelum diwartakan pada 14 Mei lalu.






