Melaka: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada Jumaat ini, jam 3 petang, kata Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

"Hari Jumaat jam 3 petang, ya... manifesto," katanya selepas melawat Bilik Gerakan Utama BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka turut menyatakan keyakinan terhadap gerak kerja jentera BN yang menurutnya semakin memberangsangkan menjelang hari pengundian pada 14 November ini.

Katanya, lawatan ke beberapa kawasan DUN mendapati jentera parti di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) giat melaksanakan persiapan pilihan raya.