Kuala Lumpur: Pelakon, Amir Ahnaf, mengakui melalui salah satu fasa paling gelap dalam hidupnya selepas selesai penggambaran filem Baga: Esok Untuk Siapa disebabkan kesukaran untuk keluar daripada karakter berat yang dibawakannya iaitu Jani.

Amir atau Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 26, impak mendalami watak itu menyebabkan dia berasa sangat takut untuk tinggal bersendirian.

"Proses untuk keluar daripada karakter Syazani sangat sukar. Keputusan pertama yang saya buat ketika itu adalah menghubungi adik-adik dan meminta mereka datang tinggal bersama saya.

"Ini kerana saya takut untuk duduk bersendirian. Jadi, apabila adik-adik datang, sekurang-kurangnya saya dapat melihat wajah mereka dan rasa diri lebih selamat," katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.