KUALA LUMPUR: Keberkesanan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah wang tunai yang diterima semata-mata, sebaliknya sejauh mana gabungan kedua-dua mekanisme itu mampu meringankan beban perbelanjaan harian isi rumah.

Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata peningkatan peruntukan gabungan STR dan SARA kepada RM16 bilion pada tahun depan perlu dinilai berdasarkan keseluruhan manfaat yang diterima penerima, termasuk keupayaan bantuan itu memenuhi keperluan asas serta meningkatkan kuasa beli mereka.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memberikan gambaran lebih menyeluruh tentang keberkesanan usaha kerajaan membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup.