Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membangunkan semula Program Perkhidmatan Doktor Udara (PDU), dengan mewujudkan unit khusus untuk menyelaras dan memantau perkhidmatan kesihatan bergerak secara lebih bersepadu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia meliputi perkhidmatan darat, air dan udara dari peringkat Ibu Pejabat KKM, Jabatan Kesihatan Negeri sehingga ke peringkat lapangan.
"Mekanisme ini bertujuan memastikan keperluan kontrak sentiasa mengambil kira standard keselamatan, keperluan operasi semasa termasuk aspek penyampaian perkhidmatan, kesesuaian aset, keselamatan operasi serta kebajikan petugas.
"Pemantauan turut diperkukuhkan melalui semakan berkala terhadap kontrak, keperluan perkhidmatan dan keperluan teknikal penerbangan dengan mendapatkan input daripada agensi serta pihak yang mempunyai kepakaran berkaitan," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, malam tadi.








