WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sabtu berkata bahawa Washington mungkin menyerang Iran seawal Ahad atau mencapai perjanjian besar dan hebat dengan Teheran, susulan laporan bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk melancarkan semula serangan terhadap Republik Islam itu.

“Kami sedang mempertimbangkannya, dan mungkin esok (Ahad),” kata Trump kepada pemberita ketika ditanya sejauh mana beliau mempertimbangkan kemungkinan serangan itu.

“Adakah anda benar-benar fikir saya akan memberitahu anda jika saya akan melakukannya?” tambahnya.

Trump berkata, Iran masih boleh mengelakkan tindakan ketenteraan selanjutnya dengan mencapai perjanjian bersama AS dan menyatakan bahawa mereka mahu mencapai perjanjian, tetapi persoalannya, adakah mereka akan mematuhinya.