KUALA TERENGGANU: Keunikan sebuah meja diperbuat daripada tunggul kayu cengal berusia lebih 100 tahun bukan sahaja terletak pada reka bentuk kreatifnya yang mempunyai ‘kolam ikan’ malah mempunyai nilai tersendiri sehingga ditukar dengan sebuah kereta Mercedes bernilai ratusan ribu ringgit.
Hasil kreativiti tukang kayu, Mohd. Zainasir Taib, 61, dari Kampung Teluk Pasu di sini, meja berkenaan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan menggunakan gabungan teknik pertukangan tradisional dan kaedah moden.
Katanya, idea menghasilkan meja berkenaan tercetus selepas dia memperoleh sebatang tunggul kayu cengal yang pada awalnya tidak dirancang untuk dijadikan perabot.
Menurutnya, selepas melihat bentuk asal tunggul berkenaan yang mempunyai ruang dan lubang semula jadi, dia mendapat ilham mengolahnya menjadi sebuah meja unik dengan mengekalkan sebahagian besar ciri asal kayu tersebut.










