Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 5,801 unit mainan span lembut atau squishy bernilai RM70,428 menerusi penguatkuasaan di seluruh negara kerana gagal mempamerkan Tanda Pematuhan Standard Keselamatan (MC).

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata, sitaan itu hasil 15 kes tindakan penguatkuasaan sepanjang pemeriksaan khas dari 1 hingga 14 Oktober bagi memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan mainan kanak-kanak.

"Sepanjang tempoh itu, sebanyak 1,845 premis diperiksa melibatkan pengilang, pengimport, pemborong dan peruncit.

"KPDN memandang serius isu keselamatan mainan kanak-kanak dan tidak akan berkompromi terhadap pihak yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599)," katanya dalam kenyataan hari ini.