KUALA LUMPUR: Pembangunan produk hiliran berasaskan nanas perlu terus diperkukuh menerusi penggunaan teknologi, mekanisasi dan kerjasama strategik bagi meningkatkan nilai tambah industri itu, sekali gus memperluas pasaran eksport negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Luqman Ahmad, berkata usaha berkenaan penting bagi merealisasikan sasaran eksport industri nanas bernilai RM2 bilion menjelang 2027.

Beliau berkata, industri nanas negara merekodkan pengeluaran 520,000 tan dengan nilai RM1.3 bilion pada 2024, sekali gus memperlihatkan potensi besar sektor itu untuk terus berkembang.

"Sehubungan itu, sasaran eksport RM2 bilion menjelang 2027 adalah aspirasi penting dan saya berharap Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, agensi penyelidikan, usahawan dan pihak industri supaya hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan," katanya.