Petaling Jaya: Pelakon, Iman Zulkarnain mendakwa berdepan tekanan emosi yang menjejaskan kehidupan peribadinya ketika menjiwai watak dalam filem Bisikan sehingga rumah tangganya turut berakhir dengan perceraian.

Iman, 35, berkata dia juga mengalami kebimbangan, serangan panik dan hilang keyakinan diri akibat tekanan untuk memberikan yang terbaik pada wataknya dalam filem berkenaan.

Menurutnya, tekanan itu menyebabkan dia sukar mempercayai orang sekeliling termasuk isteri (kini bekas isteri) sekali gus mencetuskan masalah komunikasi dalam rumah tangga mereka.

"Sejujurnya, selepas selesai penggambaran filem Bisikan, keadaan (mental) saya tidak begitu baik. Bukan kerana terbawa-bawa dengan watak, tetapi tekanan untuk menjayakan karakter itu terlalu berat kerana julung kali bawa watak utama.