KUALA LUMPUR - Fail ZIP yang mencurigakan dan disebarkan melalui platform pemesejan seperti WhatsApp boleh mendedahkan pengguna kepada perisian hasad yang mencuri kata laluan, maklumat perbankan dan maklumat peribadi, kata pakar.Timbalan Dekan (Akademik dan Teknologi) Institut Teknologi Maklumat Malaysia, Universiti Kuala Lumpur (MIIT UniKL) Dr Shafiza Mohd Shariff berkata perisian hasad itu boleh mengumpul maklumat yang tersimpan dalam peranti pengguna, termasuk kelayakan log masuk dan memantau aktiviti perbankan mereka.Beliau berkata perisian hasad itu boleh merekodkan apa yang ditaip oleh pengguna, mengumpul kata laluan dan maklumat log masuk lain, mengakses maklumat yang tersimpan dalam peranti mereka serta memantau aktiviti pengguna, khususnya yang melibatkan aplikasi kewangan."Perisian hasad itu juga boleh memantau penggunaan peranti anda, khususnya aktiviti berkaitan kewangan seperti perbankan dan sebagainya. Ia boleh mendapatkan maklumat log masuk anda," katanya kepada Bernama.Shafiza berkata penggodam juga boleh mengalihkan nombor Kod Kebenaran Transaksi (TAC) ke telefon mereka sekiranya pengguna mengakses aplikasi yang masih menggunakan kaedah pengesahan itu, sekali gus membolehkan mereka menerima kod berkenaan tanpa disedari pengguna.Beliau berkata ramai pengguna telefon bimbit tidak memasang perisian antivirus pada peranti masing-masing, yang membolehkan peranti mereka lebih terdedah kepada lampiran berniat jahat yang disebarkan menerusi platform seperti WhatsApp dan Telegram.Pada masa yang sama, beliau menasihatkan pengguna supaya menghubungi pengirim bagi mengesahkan kesahihan fail yang mencurigakan dan mengelak daripada memuat turun atau membuka lampiran daripada sumber yang tidak dikenali."Anda boleh menghubungi individu yang menghantar fail itu kepada anda untuk membuat pengesahan. Jika fail berkenaan diterima daripada individu yang tidak dikenali, jangan muat turun atau membukanya," jelas beliau.Shafiza turut mengesyorkan pengguna memasang perisian antivirus pada peranti mudah alih dan memastikan perisian itu sentiasa aktif bagi mengesan serta mengkuarantin fail yang berniat jahat.Pada 29 Oktober lepas, Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) mengeluarkan nasihat berhubung kempen serangan siber aktif di Malaysia yang melibatkan fail berniat jahat dengan menyamar sebagai dokumen kewangan dan pembayaran serta disebarkan menerusi WhatsApp.Menurutnya, fail berkenaan menyamar sebagai invois, penyata akaun, penyata elektronik dan dokumen pembayaran, dengan penerima diminta membuka atau mengekstrak lampiran ZIP berkenaan menggunakan komputer.MyCERT memaklumkan analisisnya mendapati program yang terkandung dalam arkib ZIP boleh memasang perisian hasad kawalan jauh pada komputer Windows, yang berpotensi membolehkan penggodam mengawal peranti yang terjejas.Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dalam nasihat yang dikeluarkan pada 4 November, memberi amaran mengenai peningkatan risiko y